Sunday, July 20, 2008

Hektor Lawan Patroklus 3

Saya tidak beranggapan prestasi Anwar Ibrahim dalam debat harga minyak yang lalu adalah antara yang terbaik. Itupun mulut Shabery Cheek sudah berbuih-buih. Memang menteri itu sungguh kepayahan kerana terpaksa menjadi reaksioner. Alasan kerajaan telah didengar dan Shabery sebagai menteri junior yang tidak terlibat dalam membuat keputusan menaikan harga minyak hanya boleh mengulangi alasan-alasan yang telah disebutkan oleh perdana menteri dan timbalannya. Ruang kreatif bagi Shabery untuk membikin hujah baru amat terbatas dan beliau tidak mencuba sama sekali. Sementara Anwar hanya perlu menyebut apa yang diharapkan oleh rakyat.

Sebelum pilihanraya tim pembuat manifesto mahukan Anwar menetapkan kadar jumlah akan diturunkan. Janji untuk menurunkan harga minyak memang popular, terapi kalau ada angkanya akan lebih menyakinkan rakyat. "Ini tidak dilakukan di mana-mana pililiharaya," katanya. Saya akur, meskipun agak sedikit kecewa. Sebagai ahli politik veteran ternyata dia tidak mahu menggunakan segala pelurunya. Maka peluru tersebut dikeluarkan dalam debat 15 Julai lalu. Bukan sahaja jumlah penurunan disebutkan, tetapi berapa jumlah dana yang diperlukan dan dari mana dana itu diperolehi. Lima bilion ringgit diperlukan, dua bilion dari pengurangan rezab tenaga letrik dari 40 peratus kepada 20 peratus, satu bilion dari perundingan semula dengan IPP, satu bilion dari wang kerajaan yang bocor akibat rasuah, dan satu bilion lagi dari dividen Petronas. Dengan menyatakan rancangan ini Anwar telah memenangi perdebatan tersebut kerana inilah intinya.

Shabery tidak dapat menjawabnya. Bagaimana untuk dijawab? Kerajaan kata tidak boleh, Anwar kata boleh, dan menebutkan caranya. Saya tidak tahu mengapa menteri itu memilih serangan peribadi sebagai salah satu peluru utamanya. Melalui serangan seperti itu Shabery hanya meludah kelangit.

Thursday, July 17, 2008

Hektor lawan Patroklus 2


"Apakah dia telah digigit anjing gila hingga air liur pekat keluar dari kedua-dua belah hujung mulutnya?" tanya Aasil, rakan saya hisap sisya di restoran Lubnan Zaman, Virginia. Selepas perdebatan Anwar Ibrahim menerima telefon dari seorang Arab dari Lugano, Switzerland. "Saya tidak tahu satu butirpun yang kamu debatkan. Apa yang kamu katakan hingga mulut lawan kamu penuh dengan air liur putih?"
Shabeery Cheek bukan tidak ada hujah. Tetapi tujuh juta khalayak Malaysia yang menonton perdebatan tersebut tidak dapat memberikan tumpuan kepada apa yang beliau hujahkan kerana diganggu oleh air liur putih yang menggelikan. Menteri Penerangan itu akan menyimpan rekod pengeluaran air liur yang paling produktif di kaca tv.
Shabeery pastinya kalah teruk, bukan mengikut pungutan suara yang dilakukan oleh Malaysia kini, tetapi mengikut institusi-institusi media perdana pro-pemerintah. Sekiranya debat itu seri, pastinya mereka telah menjajakan kepada rakyat bahawa Anwar Ibrahim ditewaskan oleh menteri yang paling junior. Debat itu begitu pahit bagi mereka. Dan begitu memalukan. Mereka mahu melupakan ketewasan tersebut dengan satu peristiwa yang lebih besar -- menangkap Anwar Ibrahim.
Gambar: Akilis menyaksi tubuh Patroklus yang tewas di tangan Hektor.

Wednesday, July 16, 2008

Hektor lawan Patroklus 1


Kawan lama saya Shabery Cheek masih boleh menang dalam debat bersejarah malam semalam kalau tidak kerana kehadiran Nordin Kardi. Belum pernah saya mendengar seorang naib chanselor memberikan ucapan yang sebegitu dungu. Kalau tan sri dungu ini boleh menjadi seorang naib chanselor maka kita boleh mengerti mengapa tidak ada sebuah universiti pun di Malaysia yang berada dalam kumpulan 200 teratas di kalangan universiti-universiti dunia. Dan Nordin juga seorang tokoh terpenting dalam program-program propaganda Biro Tata Negara. Banyangkan sahaja kualiti idea yang hendak disemaikan kepada mahasiswa.
Nordin cuba menyelar Anwar Ibrahim kononnya keluar dari tajuk apabila menyebut janakuasa persendirian -- Indipendent Power Producers -- kerana debat adalah tentang minyak. Tentunya IPP amat terlibat dengan rancangan Anwar untuk memperolehi tiga bilion dari lima bilion yang diperlukan untuk mengurangkan harga minyak tempatan sebanyak 50 sen. Naib chanselor itu bengong, juga Shabeery, dan lain-lain penyokong kenaikan minyak kerana mereka mati-mati menyangka Anwar akan memunggahkah keuntungan Petronas untuk membiayai subsidi. Apabila yang dikemukakan lain dari yang mereka sangkakan maka mereka hilang akal lalu membuat serangan peribadi.
Saya melihat debat malam semalam seperti pertarungan antara Hektor dengan Patroklus dalam puisi agong Illiad karya Homer. Hektor adalah putera mahkota, pahlawan tersohor dan panglima perang Troy. Sementara Patroklus hanyalah seorang anak muda, sepupu kesayangan dan rakan berlatih Akilis. Apabila Akilis merajuk kerana berkelahi dengan Aggamemnon, panglima perang Greek yang ingin menakluk Troy, pahlawan tersebut undur dari medan. Akibatnya tentera Greek teruk diasak oleh Hektor dan begitu ramai pahlawan veteran Greek yang cendera dan terpaksa diusung keluar dari medan tempur. Petroklus amat kesihan dengan nasib tentera-tentera Greek yang hilang semangat kerana pahlawan terkemuka seperti Odysseus, Nestor dan Agamemmnon sendiri cendera, dan Akilis, pahlawan yang paling digeruni, masih merajuk dan enggan berperang. Patroklus merayu kepada Akilis agar membenarkannya bertempur dan meminjamkan perisai, baju dan topi besinya. Patroklus terus mendesak dan merayu, akhirnya Akilis bersetuju tetapi berkata: "Kau jangan sekali-kali bertarung dengan Hektor. Hanya aku yang boleh mengalahkan dia."
Apabila Patroklus memasuki medan tentera-tentera Troy bertempiaran lari kerana mereka menyangkakan Akilis telah kembali bertempur. Mereka kenal pakaian tersebut adalah milik Akilis, dan pergerakan dan gaya tempur Patroklus memang saling tidak tumpah dengan Akilis. Ramai pendekar dan pahlawan Troy yang dibunuh dan dicederakan oleh Petroklus. Petroklus naik berani dan apabila bertembung dengan Hektor yang datang untuk membantu anak-anak buahnya dia telah melupakan pesan Akilis. Hektor bertarung dengan orang yang disangkakannya Akilis kerana putera Priam itu tahu hanya dia yang boleh menghalang kemaraan pahlawan Greek yang paling perkasa. Hektor menyangkakan akan berlaku pertempuran sengit yang dia nanti-nantikan. Dia terperanjat apabila lawannya dapat ditumpaskan dengan mudah, dan berasa malu apabila mengenali orang yang dibunuhnya hanyalah Patroklus.
Gambar: Bukan main gembira lagi Wan Azizah menceritakan kemenganan Hektornya. Di tengah kami adalah Raja Salim, besan mereka.

Sunday, July 13, 2008

Pendekar Sumpah-Sumpah



Laman web ceoexpress.com memang mencabar daya pilih, kudrat dan akal. Seperti memasuki supermall, leka kerana terlaku banyak pilihan, dan akhirnya lelah. Where is the knowledge we have lost in information - dimanakah ilmu yang hilang dalam maklumat. Soalan ini ditanyakan oleh T S Eliot beberapa dekad sebelum berlakunya ledakan maklumat. Zaman ini sungguh mewah dengan maklumat. Tetapi apakah kita semakin pandai? Majalah The Atlantic Monthly bulan ini menyiarkan esei "Is Google Making us More Stupid?" yang membentang hubungan ilmu dengan teknologi.

Maka saya sering berdepan dengan dilema. Buku atau web. Sebagai penulis saya perlukan idea. Dailog-dailog Plato lebig sarat dengan idea dari yang terkandung dalam Google. Jadi menghadam sebuah dialog kecil seperti Phaedrus lebih mencerah, lebih memperkasakan otot-otot akal dari berbulan-bulan melayari Google. Tetapi sebagai penulis saya juga perlukan maklumat. Idea dalam buku, maklumat dalam web. Dan semalam AWJ--rakan sekelas di Masjid Tanah awal 1970an dan makan nasi bersama dalam ladang getah di sebelah sekolah--memperkenalkan ceoexpress.com, satu laman yang mempunyai tembusan kepada maklumat berkualiti.

Tatkala sedang asyik menyelak ceoexpress.com malam tadi saya terdengar suara pendekar Jawa kita menjerit dalam tv. Saya tidak menonton tv, hanya mendengarnya dari jauh. Ezam mahu bersumpah 'secara Islam'. Yusmadi, ahli parlimen Balik Pulau dan salah seorang peguam pendekar kita semasa dalam penjara, pernah memberi tahu saya: "Ezam ini orang yang tidak punya keyakinan diri. Bila mahu bersumpah dia akan seret emaknya, bapanya." Dan anaknya, dan kalau boleh cucunya yang hanya akan lahir 20 tahun dari sekarang. Kita harap Ezam akan benar-benar bersumpah, dan dengan menjujung al-Qur'an, supaya dia memperteguhkan kedudukan dan kejohanannya sebagai politikus Melayu yang paling kerap bersumpah dalam sejarah. Pada masa ini rekod ini tidak akan dipecahkan sehingga akhir abad ini. Bersumpah, inilah kemahuan dan ketagihan khalayak politik Melayu-Umno yang jahil syariat.

Dakwa pendekar itu dia telah merujuk kepada 'dua ulamak muktabar'. Apakah ianya sheikhul Islam Negeri Entah Berantah? Berapa kitab ugama yang dikarang oleh 'ulamak muktabar' tersebut? Seorang ulamak tidak boleh jadi muktabar kalau tidak mengarang buku. Apakah kitab dan ilmu islamnya mengatasi ilmu Sheikh Taha Jabir al-Elwani atau Sheikh Yusuf al-Qaradhawi? Gelembong ini amat tipikal bagi pendekar itu. Teringat saya dibulan-bulan terakhir Anwar Ibrahim dalam penjara. Ezam membuat gerakannya dan menjustifikasikannya: "kita perlu berfikir di luar kotak." Saya melakukan interrogasi, saya ingin tahu, siapa penasihat-penasihatnya, rakan befikir di luar kotak. Dia menyebut beberapa nama, tetapi yang paling penting adalah Hamdan Taha. Bukan kepalang saya menahan perut untuk tidak pecah ketawa. Hamdan Taha! Berfikir di luar kotak! Saya ingatkan seorang ahli politik veteran yang keluar masuk labiran politik selama lima dekad atau anak muda yang mempunyai IQ melebihi 160.

Ezam adalah pendekar yang tewas dua kali. Kekalahan pertama adalah dalam ujian penjara. Ezam begitu berbangga dengan statusnya sebagai bekas tahanan ISA. Dan lagi, untuk membandingkan dirinya dengan setiausaha-setiausaha Anwar yang lain, satu-satunya setiausaha yang masuk ISA. Tentunya di sini Ezam memang lebih. Bahkan dia melebihi semua tahanan ISA reformasi. Dialah satu-satunya tahanan ISA reformasi yang tewas.

Ketewasan kedua adalah lebih kelasik. Bukan sahaja tewas, bahkan tidak pernah menang. Itulah pergelutannya dengan pemegang diari merah. Inilah luka yang paling dalam pada diri pendekar Jawa. Dia pergi bertapa di makan Sunan Gunung Jati di Ceribon. Dia beroleh kekuatan, tetapi luka itu tidak sembuh. Maka kekuatan itu menjadi bahan bakar kepada kesumatnya.

Gambar: Gambar di atas tidak ada kena mengena dengan mana-mana manusia, baik yang sedang hidup mahupun yang telah mati. Tetapi green iguana ini kelihat sungguh meditatif.

Monday, July 07, 2008

Syariah di England

Beberapa hari lalu hakim paling kanan di England membenarkan penggunaan syariah untuk menyelesaikan pertelengkahan di kalangan orang Islam.

Lord Chief Justice Lord Philips berkata prinsip-prinsip hukum Islam boleh digunakan dalam menangani masalah kekeluargaan, perkahwinan dan menguruskan kewangan.

Beliau mengishtiharkan: 'Mereka yang memasuki perjanjian kontrak boleh bersetuju bahawa perjanjian tersebut boleh mengikut hukum yang lain dari hukum England.'

Dalam ucapannya di mesjid East London, Lord Phillips mengisyaratkan penerimaan prinsip-prinsip syariah selagi hukuman - dan peraturan perceraian - mematuhi undang-undang negeri.

Lima bulan yang lalu Archbishop of Canterbury Dr Rowan Williams mencadangkan hukum Islam boleh digunakan untuk mengaturi persoalan perkahwinan, perniagaan dan arbitrasi perselisihan. Ucapan archbishop tersebut menimbulkan bantahan keras dari pelbagai pihak.

Mengulas ucapan Dr. Rowan Williams, Lord Chief Justice tersebut berkata 3 Julai lalu berkata:"Menganjurkan penerimaan syariah dalam konteks pertelingkahan keluarga bukanlah suatu yang radikal.'

Beliau menambah: "Terdapat kekeliruan yang meluas terhadap sifat undang-undang syariah." Dia juga menegaskan rejam dengan batu, sebat dan memotong tangan tentunya tidak boleh dilaksanakan di England.

Sunday, June 29, 2008

Malam yang panjang


Ketika saya bangun pagi Eekmal mengatakan:"Boss sudah ke kedutaan Turki." Saya lega. Tujuh jam pemimpin-pemimpin tertinggi Keadilan bergelut untuk menyakinkan Anwar Ibrahim supaya mengambil tawaran pemerintahan Turki untuk memberikan beliau perlindungan. Bila saya turun dari tingkat 24 Hotel Quality, Shah Alam, ke bilik saya di tingkat 22, Anwar masih dengan diri biasanya -- degil. Rayuan puterinya juga tidak berhasil.
Saya merasakan stress yang luar biasa. Dan ketegangan menyelubungi suite ditingkat 24 yang ditempah oleh IKD sebagai penganjur Seminar Gagasan dan Kebijakan untuk MPT, MP dan Adun Keadilan. Saya sungguh gembira dengan hasil awal seminar. Saya gembira kerana semua peserta terasa akalnya teruja dengan pembentangkan Tay Kheng Soon yang seperti menyalakan lilin dalam kegelapan. Sebelum ini kita mendengar ajakan paradigma, begitu sering didengar sehingga menjadi satu slogan. Tetapi pembentangan Tay, seorang arkitek tersohor dari Singapura, benar-benar satu anjakan paradigma, bukan sahaja sebagai teori tetapi lengkap dengan contoh-contoh khusus. Tetapi pada waktu malam, bila mesyuarat MPT diseparuh jalan, suasana bertukar.
Dalam setiap mesyuarat MPT ada agenda khas di mana Anwar akan memberikan taklimat politik semasa, memimpin perbincangan politik dan membina muafakat. Tetapi agenda perbincangan politik menjadi pendek apabila beliau diberikan maklumat tetang laporan polis yang dibuat oleh Saiful Bahri. Ini bermakna dia boleh ditahan bila-bila masa untuk tujuan 'siasatan'. Benak saya dan saya kira ramai yang lain dalam bilik mesyuarat bertanya: "Apakah kita akan melalui ini semua sekali lagi, setelah 10 tahun, dan setelah gelombang rakyat 8 Mac?"
Khairy Jamaluddin tentunya mempunyai ingatan yang pendek apabila menjerit "Tidak masuk akal." Semua yang berlaku semasa Anwar dalam tahanan polis September 1998 adalah tidak masuk akal. Dalam kebengongannya untuk berdepan dengan rakyat yang mula marah Khairy melatah: "kemungkinan Anwar sendiri yang menyuruh pembantunya itu supaya membuat laporan polis dan ini adalah satu taktik konspirasi untuk meraih simpati orang ramai." Malanglah Abdullah Badawi yang mempunyai menantu yang menjadi murid kepada Tun Mahathir. Bukankah Mahathir yang mengatakan kepada dunia Anwar sendiri yang menghantukan kepalanya ke dinding bilik tahanan sehingga lebam matanya untuk meraih simpati? Mungkin juga Khairy ketika itu masih hisap kopek lagi makanya tidak ingat.
Masuk akalkah Rahim Nor sendiri membelah orang yang beberapa minggu sebelumnya adalah timbalan perdana menteri? Tidak masuk akal pada rakyat Malaysia sebelum Rahim Nor sendiri membuat pengakuan. Masuk akalkah peguam V K Lingam punya peranan besar menjadikan Ahmad Fairuz Ketua Hakim Negara Ahmad? Tidak masuk akal sebelum meletupnya tape V K Lingam.
Pada malam yang panjang itu ada suara yang meminta supaya tidak "over react" dengan laporan polis tersebut. Anwar sendiri bukanlah seorang yang mudah panik. Bahkah apabila orang lain sudah semuanya panik, Anwar akan mententeramkan mereka: "Jangan over reack." Sepuluh tahun lalu apabila semua penyokong-penyokongnya sudah yakin Mahathir telah menyediakan rancangan untuk menjatuhkannya dan bertubi-tubi menyampaikan cebisan-cebisan maklumat tentang konspirasi tersebut Anwar menghujah penyokong-penyokongnya: "kamu semua over react." Dalam Perang Dunia Kedua Stalin tidak mempercayai sama sekali Hitler akan menyerang Russia. Apabila perisikan tenteranya menghantara laporan sulit memberikan tarikh tetap serangan Hitler, Stalin memaki dan mencarut orang yang membuat laporan tersebut.
Saya merasakan peristiwa 10 tahun lalu akan berulang. Pasti tidak sama. Saya melihat-lihat mereka yang masuk satu persatu ke suite tingkat 24. Sepuluh tahun lalu mereka adalah rakyat biasa, fanatikus Anwar yang tidak bernama. Sekarang mereka menduduki dewan rakyat atau anggota pimpinan tertinggi sebuah parti politik yang memimpin pakatan baru parti-parti politik. Dan pakatan ini diambang membentuk pemerintahan baru. Azmin Ali, dahulunya hanya pemegang dairi merah tetapi kini ahli parlimen dan ketua wip, berpindah dari satu kumpulan ke satu kumpulan dalam suite yang seperti menjadi bilik operasi. Sebelum naik ke suite itu Azmin membuat diktasi kepada Johari Abdul sms yang akan dihantar keseluruh negara. Pasti tidak sama dengan sepuluh tahu dulu. Tentunya. Musa Hasan ketika itu hanya pegawai penyiasat (IO) kini telah menjadi Ketua Polis Negara. Ghani Patail yang juga terlibat sebagai anggota pasukan pendakwa kini adalah Peguam Negara. Tidak sama, mungkin lebih tragis. Perjalanan ke lokap polis mungkin lebih jauh, dan mungkin tidak sampai ke lokap.
Setiap kali pintu suite tingkat 24 diketuk hati semua berdebar. Mungkin ini masanya beliau diambil sekali lagi. Bila malam bertukar dini hari lobi Hotel Quality semakin sesak. Hishamudin Rais masuk dan memeluk Anwar: "Kau ni Anwar memang suka menyusahkan hidup aku." keduanya ketawa, dan juga mereka yang berhampiran. " Sejak tahun 74 lagi. Baru aku nak rihat, kau buat hal lagi." Semua ketawa lagi. Hanya sebentar. Kemudia bilik kembali stress.
Beberapa orang sibuk menaip kenyataan media. Saya hanya menengok. Berbeda sepuluh tahun lalu, kalau kenyataan media mesti saya menulisnya. Kemudian Anwar mengarahkan kenyataan diterjemahkan ke bahasa Melayu. Saya menyuruh Eekmal membuatnya. Anwar telah melantik Eekmal sebagai setiausaha akhbar bahagian bahasa Melayu, tetapi hanya mula bertuga I Julai. Eekmal merujuk kepada Yusmadi (Yang Berhormat Balik Pulau) untuk istilah undang-undang. Masa sudah berubah. Anwar sudah ada pembantu-pembantu dari generasi baru. Sim Tze Tzin, sudah menjadi Adun Pantai Jerjak, masih bertugas di pejabat Anwar sebagai koordinator politik. Tetapi pejabat itu juga diimbangan dengan generasi matang dan pensiunan -- Ibrahim Yaakob dan Din Merican. Itulah magis dan magnet pejabat Anwar, menarik mereka untuk memulakan karir hidup seperti (sekarang) Eekmal, Farhas, mereka yang jemu dengan karir lama dan ingin membuka lembaran lalu seperti (dahulunya) Azmin, saya dan lain-lain; dan juga mereka yang ingin memberi makna kepada zaman pensiunan mereka, inilah kategori Ibrahim dan Din. Di luar pejabat itu ada beberap lapis lingkaran penyokong, sedikit saya kenali, dan sebahagian besarnya tidak. Ada yang mahu dikenali, dan sebahagian banyak tidak. Anwar Ibrahim adalah satu institusi. Dan sebagai sebuah bangunan Anwar juga menarik anai-anai. Atau ada anai-anai yang dihantar.
Kalau ada kampung berdekatan, dan tingkap kami buka, kami sudah pasti mendengar ayam berkokok kali kedua. Dini hari mendekati subuh. Perut saya mulai rasa pedih. Saya takut diserang gastrik, sebagaimana berlaku selepas Malam Karyawan II. Saya meminta tolong Eekmal membelikan roti canai. Esok Seminar Gagasan dan Kebijakan perlu diteruskan. Saya turun ke bilik untuk menunggu roti canai. Pemimpin-pemimpin Keadilan, rakan-rakanya masih berusaha menyakinkan Anwar dia perlu pergi ke tempat selamat.

Tuesday, June 24, 2008

Memahami minyak 3


Saudi Aramco adalah syarikat terbesar di dunia. Kajian yang dilakukan oleh Financial Times and McKinsey dalam tahun 2006 meletak nilai syarikat itu pada US$781 bilion. Saingan terdekatnya ExxonMobil, syarikat terbesar di dunia -- dari segi market capitalization --yang disenaraikan di bursa saham, hanya bernilai US$454 bilion. Kesan tangan John D. Rockefeller tetap tidak terhapus pada kedua-dua syarikat. Aramco adalah hasil kerjasama dengan Standard Oil yang diasaskan oleh Rockefeller dan ExxonMobil juga bermoyangkan Standard Oil. Aramco menjadi Saudi Aramco apabila kerajaan Arab Saudi membeli 100 peratus saham Aramco dalam tahun 1980.

Rockefeller adalah manusia terkaya dalam sejarah dan billionaire pertama. Menurut majalah Forbes harta peninggalan beliau kini bernilai US$318.3 bilion. Selain dari 'Orang Minyak' beliau juga tokoh philanthropist, menjadi pengasas kepada dua universiti - University Chicago dan University Rockefeller. Dia juga lagi dikenal, dan lagi terkenal kerana terlalu kaya, seorang yang tidak meneguk arak dan menghisap rokok. Antara kegiatan dermawannya adalah membantu organisasi-organisasi gereja. Beliau menganggotai gerjea Northern Baptist.